Berumah dalam kontena reput

TUMPAT – Empat beranak terpaksa tinggal berhimpit di dalam sebuah kontena reput di Kampung Telaga Lanas kerana kemiskinan hidup.

Walaupun tidak selesa tinggal di dalam kontena itu, Nazerli Mohamad, 45, bersama isteri, Noraini Dollah, 31, serta dua anaknya, Norhidayah, 9 dan Mohd Akbar, 4, tiada pilihan lain kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berteduh serta tidak mahu menyusahkan bapanya.

Narzeli berkata, kehidupannya menjadi sukar selepas mengidap penyakit stroke dan kencing manis kronik menyebabkan dia yang sebelum ini menetap di Kajang, Selangor terpaksa pulang ke kampung halaman kerana sakit.

“Tiga tahun saya bersama isteri dan anak-anak terpaksa menahan bahang panas tinggal dalam kontena selepas berpindah ke kampung.

“Menumpang pula di atas tanah kakak ipar kerana saya tidak punyai tanah sendiri,” katanya.

Menurutnya, kontena itu adalah pejabatnya semasa dia bekerja sebagai site superviser dengan abangnya di Kuala Lumpur, dibawa pulang kontena itu ke kampung 22 tahun lalu.

Katanya, dia habiskan RM2,000 ubahsuai kontena ini sebagai rumah yang dilengkapi bekalan elektrik dan air.

“Di dalam kontena inilah ‘syurga’ kami, disinilah dapur kami, disinilah bilik tidur kami, di sini lah ruang makan kami.

“Asalkan dapat berteduh dari panas dan hujan, cuma risau bila anak-anak membesar, mereka perlukan tempat yang selesa,” katanya.

Menurutnya, dia yang mengidap stroke lumpuh sebelah tangan serta tidak dapat berjalan perlukan bantuan isteri untuk berulang-alik ke tandas yang berada di luar rumah kontena ini.

Katanya, dengan keadaannya yang uzur ini sukar untuk isterinya merupakan warganegara Thailand bekerja namun dia ada menternak beberapa ekor ayam dan itik pemberian keluarga.

“Makan minum kami sehari-hari bergantung sepenuhnya kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan, adik beradik kadang kala ada membantu.

“Memang tak cukup sebabnya saya juga perlu beli ubat, seandainya terdesak saya akan jual kereta Pajero saya, satu-satunya harta yang tinggal hasil titik peluh berniaga kedai makan di Kajang, Selangor bersama isteri,” katanya.

Menurutnya, sudah banyak agensi kerajaan datang untuk membantu mendirikan rumah buat keluarganya namun disebabkan tiada tanah permohonan bantuan rumah tidak dapat diproses.

Katanya, dengan keadaannya yang uzur serta tiada pendapatan, dia tidak mampu untuk berpindah di rumah sewa dan akan bertahan tinggal dalam kontena selagi hayat dikandung badan.

“Saya berdoa semoga saya pulih daripada penyakit ini, bila saya dapat berjalan semula dan ada pekerjaan, derita kami akan berakhir,” katanya.

Sesiapa yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke dalam akaun Narzeli Bank Simpanan Nasional (BSN) 0311729867256473 atau hubunginya di talian 0199614777.

Sumber : Sinar Harian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *