Batal ECRL: Siapa Yang Rugi!

OLEH: DAUD50

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan, pembangunan di Pantai Timur sedikit ketinggalan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. Malah seorang pensyarah dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan UUM menyifatkan pembangunan ekonomi di Pantai Timur tertinggal 70 tahun ke belakang.

Jika benar kajian itu dibuat, apakah salah rakyat di Pantai Timur? Mengapakah rakyat khususnya di Kelantan dan Terengganu perlu dihukum sebegini? Dan apakah sebab nasib rakyat di negeri-negeri terbabit dianak tirikan?

Kerajaan PAS Kelantan baru-baru ini mendedahkan sebab rakyat di negeri itu dianak tirikan ketika pemerintahan Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Ini kerana terdapat ketegangan hubungan antara Mahathir dengan kerajaan negeri sehingga mengetepikan segala kemajuan di Kelantan.

Timbalan MB Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengakui era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak jauh lebih baik berbanding zaman pentadbiran Mahathir sebagai Perdana Menteri. Bahkan, kerjasama baik antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan ketika ini telah membawa banyak perubahan kepada Kelantan.

Di hadapan ribuan rakyat Kelantan, PM Najib berikrar “ambo nak tolong ore Kelate”. Rakyat Kelantan katanya akan terus dibantu dengan pelbagai projek pembangunan termasuklah projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat sebagai ‘game changer’ di Pantai Timur menjelang beberapa tahun mendatang.

Namun, projek mega infrastruktur bernilai RM55 bilion sepanjang 688 kilometer itu yang menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan Pahang, Terengganu dan Kelantan tidak menyenangkan hati Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Mahathir sebelum ini dikecam kerana memberi amaran mahu membatalkan projek ECRL bila mana mereka menang PRU-14, dengan alasan ECRL adalah satu pembaziran. Malah tindakan Husam Musa yang juga anak jati Kelantan menyifatkan projek ECRL adalah tidak mustahak turut dipersoal.

Adakah Pakatan termasuk PKR dan DAP mahu pembangunan tertumpu di Lembah Klang dan Pulau Pinang sahaja? Adakah perbelanjaan ke atas projek infrastruktur untuk Pantai Timur membazir kerana UMNO dan PAS adalah parti dominan?

Realitinya, projek ECRL membawa limpahan rezeki kepada rakyat dengan menawarkan 80,000 peluang pekerjaan khusus buat anak tempatan. Ini sekali gus menutup kerisauan anak muda di Pantai Timur yang terpaksa berhijrah keluar untuk mencari pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.

Rakyat tempatan yang terlibat dalam projek ECRL dianggap menguntungkan memandangkan pemindahan kepakaran teknologi rel dari China dapat memberi manfaat untuk jangka masa panjang kepada negara.

Selain itu, anak tempatan juga ditawarkan latihan bagi mengendalikan beberapa jenis jentera yang dibawa masuk dari China dan kontraktor utama ECRL turut memberi keutamaan kepada penggunaan bahan binaan dari syarikat tempatan dalam negara.

Dari segi pertumbuhan ekonomi, KDNK di Pantai Timur disasarkan meningkat kepada 1.5 peratus pada masa akan datang. Bagi industri kecil dan sederhana pula, ECRL mampu merapatkan jurang logistik yang menghalang kemampuan Kelantan untuk membawa masuk pelaburan.

Dewan perniagaan Melayu dan Cina di Kelantan juga mengakui ekonomi rakyat di negeri itu akan berkembang sebaik mungkin dengan kuasa beli pengguna dan pertumbuhan perniagaan di kawasan setempat meningkat berlipat kali ganda kerana menerima tempias manfaat dari ECRL.

Lebih penting sekali, projek ECRL tidak menggunakan kaedah pelaburan asing seperti mana didakwa oleh pembangkang. Sebaliknya, ECRL distrukturkan sebagai pelaburan domestik yang dibiayai pinjaman mudah. Ini bermaksud, ECRL dikendalikan sepenuhnya anak syarikat Kementerian Kewangan.

Jadi, adakah projek ECRL boleh dianggap sebagai satu pembaziran? Apakah kesalahan rakyat di Pantai Timur untuk dinafikan projek infrastruktur seperti ECRL? Tidakkah mereka fikir betapa pentingya nilai dan manfaat ECRL buat rakyat di negeri terbabit?

Tindakan DAP dan PKR yang berterusan membantah ECRL dilihat mahu sabotaj projek pembangunan rakyat. Adakah DAP lebih berminat dengan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang diselubungi skandal kontroversi termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah, meskipun projek berkenaan belum dijalankan?

Membatalkan projek ECRL nyata dilihat sebagai usaha Pakatan mahu Pantai Timur terus mundur dan terkebelakang. Sikap ego dan ketamakan Pakatan dalam meraih sokongan politik, jelas membunuh harapan dan masa depan rakyat bukan sahaja di Pantai Timur bahkan rakyat di seluruh negara.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *