Bajet 2018 pacu industri pelancongan Kelantan

JELI: Peruntukan RM3.5 billion kepada sektor pelancongan menerusi Bajet 2018 harus dimanfaatkan bagi memacukan industri berkenaan di Kelantan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan (MTEN) Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata Kelantan seharusnya merebut peluang itu bagi membangunkan sektor pelancongan di negeri berkenaan.

“Kelantan juga berpotensi besar untuk membangunkan sektor itu kerana mempunyai alam semula jadi dan tempat menarik yang boleh dijadikan destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program memperkasakan panel penasihat klinik kesihatan dan ahli lembaga pelawat hospital Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Jeli, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Balah, Datuk Aziz Derahsid, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmed Maher dan Pengerusi Penal Penasihat Kesihatan Kelantan, Che Abdul Aziz Ibrahim.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata sebelum ini Kelantan agak ketinggalan dalam membangun sektor pelancongan.

Katanya, pelbagai masalah dikenal pasti termasuk kekurangan peruntukan dan kelemahan pengurusan yang memungkinkan negeri itu terkebelakang berbanding negeri lain untuk membangun dalam sektor pelancongan.

“Bagaimanapun pengumuman Bajet 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi nafas baharu untuk kita memajukan semula industri pelancongan terutama di Kelantan,” katanya.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *