Annuar memaafkan penuduhnya

KOTA BHARU 13 Dis. – Bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa menzahirkan rasa syukur dengan keputusan pihak pendakwa raya yang memutuskan untuk tidak mendakwa beliau dalam isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan.

Katanya, beliau percaya isu tersebut telah dipolemikkan bermula dengan personaliti tertentu yang telah membuat tuduhan terhadapnya.

Bagaimanapun katanya, sepanjang tempoh isu tersebut beliau telah mengambil pendekatan sederhana dengan tidak banyak mengeluarkan kenyataan dan menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan.

“Yang pertama saya bersyukur apabila pihak SPRM sendiri mengeluarkan kenyataan bahawa saya tidak didakwa. SPRM telah membuat tugasan dalam masa yang cepat dan cekap.

“Sekarang lebih baik kita pandang ke hadapan dan saya juga tidak mahu memanjangkan lagi isu ini. Saya juga telah memaafkan mereka yang tersalah cakap dan membuat kenyataan menuduh saya dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Alatan dan Kelengkapan Sekolah di Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini hari ini.

Semalam pihak pendakwa raya telah memutuskan untuk tidak mendakwa Annuar berhubung isu penajaan pasukan bola sepak Kelantan dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM), Datuk Seri Azam Baki dilaporkan berkata bahawa pihak pendakwa raya telah meneliti kertas siasatan isu terbabit sebelum keputusan itu dibuat.

Kata Azam, segala keterangan yang diambil serta bukti yang dikumpul setakat ini tidak mencukupi untuk mendakwa Annuar.

Pada Januari lalu, Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta Unikl untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Selepas itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh dilapor memberikan segala maklumat bagi membantu siasatan SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dan salah guna kuasa sebagai Pengerusi Mara.

– UTUSAN ONLINE

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *