Ahli Parlimen Orang Asli pertama angkat sumpah

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai polis, Ramli Mohd Nor secara rasminya menjadi Orang Asli pertama bergelar Ahli Parlimen selepas mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat Cameron Highlands di Parlimen, hari ini.

Ramli yang juga dari suku kaum Semai, mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, jam 10.05 pagi tadi.

Upacara angkat sumpah itu yang mendahului urusan Dewan Rakyat hari ini, turut disaksikan barisan anggota Kabinet dan Ahli Parlimen lain daripada pihak kerajaan dan pembangkang.

Selepas Ramli mengangkat sumpah, Mohamad Ariff mengucapkan tahniah kepada beliau, khususnya atas kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Januari lalu.

“Majlis angkat sumpah hari ini juga adakah titik sejarah bagi Dewan Rakyat kerana buat pertama kali Ahli Parlimen dari komuniti Orang Asli di Semenanjung dipilih rakyat melalui proses yang demokratik.

“Saya harap Yang Berhormat dapat memberikan sumbangan yang berguna dan berfaedah kepada Dewan ini dan negara serta dapat berkhidmat dengan cemerlang,” katanya.

Selepas mengangkat sumpah, urusan Dewan Rakyat diteruskan dengan Waktu Pertanyaan Menteri (MQT), sesi soal jawab lisan dan perbahasan ucapan Yang di-Pertuan Agong.

Ramli menang dalam PRK Parlimen Cameron Highlands pada Januari lalu apabila mendapat 12,038 undi dengan majoriti 3,238 undi.

Beliau menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), M Manogaran yang mendapat 8,800 undi, serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan kemenangan Datuk C Sivarraajh daripada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei tahun lalu di kerusi Cameron Highlands, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Sivarraajh, pada PRU lalu yang berdepan saingan lima penjuru, menang di kerusi itu selepas memperoleh 10,307 undi, manakala Manogaran meraih 9,710 undi.

Calon PAS, Wan Mahadir Wan Mahmud memperoleh 3,587 undi, Parti Sosialis Malaysia (PSM), B Suresh Kumar (680 undi) dan calon Berjasa, Mohd Tahir Kassim, 81 undi.

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kedua Parlimen Ke-14, berlangsung selama 20 hari bermula semalam sehingga 11 April, manakala Dewan Negara pada 22 April sehingga 9 Mei depan selama sembilan hari.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *