Adun BN minta PAS buka semula panggung wayang

KOTA BHARU: Seorang Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan meminta kerajaan negeri pimpinan Pas membenarkan panggung wayang dibuka dan beroperasi semula di negeri ini setelah hampir 30 tahun diarah tutup oleh kerajaan negeri.

Mohd Syahbuddin Hashim (BN-Galas) berkata, kerajaan negeri boleh membuka panggung wayang berkonsepkan patuh syariah yang dikawal sepenuhnya.

“Ketika ini rakyat Kelantan yang mahu menonton filem perlu ke Terengganu, negeri paling dekat yang mempunyai panggung wayang.

“Kalau Terengganu membenarkan perkara itu (membuka panggung wayang) saya ingin mencadangkan agar panggung wayang di negeri ini dibuka semula,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini pada Selasa.

Kali terakhir Kelantan mempunyai panggung wayang ialah sebelum Pas mengambil alih negeri ini daripada BN pada 1990 iaitu Panggung Lido yang terletak di Jalan Post Office Lama di sini.

Mohd Syahbuddin berkata, ada ulama yang berpandangan tidak salah untuk menonton filem asalkan yang ditonton itu memberikan kebaikan untuk penontonnya.

Selain itu, beliau turut meminta kerajaan negeri supaya menjelaskan jumlah kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di beberapa bandar utama di negeri ini.

“Kalau dapat jelaskan sudah berapa banyak CCTV ini dipasang terutamanya di lokasi panas yang sering berlakunya jenayah,” katanya. – BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *