76 sekolah pondok, pusat tahfiz tidak patuh aspek keselamatan cegah kebakaran

KOTA BHARU: Jumlah penuntut melebihi had dalam asrama, pintu kecemasan terhalang, tiada laluan kecemasan dan penyambungan elektrik berlebihan antara isu yang dikesan hasil pemeriksaan minggu pertama oleh Jawatankuasa Petugas Khas ke atas Pondok dan pusat Tahfiz seluruh negara.

Sejumlah 34 peratus atau 76 pusat tahfiz dan pondok pengajian agama dari 228 buah yang diperiksa tidak mematuhi aspek keselamatan pencegahan kebakaran atau mudah terdedah kepada berlakunya kebakaran.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Datuk Soiman Jahid berkata, selain aspek kebakaran yang tidak dipatuhi itu, pihaknya juga turut mendapati terdapat pondok atau pusat tahfiz melakukan aktiviti memasak dalam kawasan penempatan atau dalam asrama.

“Pemeriksaan ke atas 228 pusat tahfiz dan pondok mendapati 66 peratus atau 152 buah pusat mematuhi manakala selebihnya tidak mematuhi aspek pencegahan kebakaran.

“Sebenarnya untuk pemeriksaan minggu pertama kita bagi notis untuk melaksanakan langkah awal supaya dia dapat dioperasikan saya ambil contoh Negeri Sembilan apabila terlalu ramai pelajar ditempatkan di asrama kita bagi notis dan tindakan tidak benarkan pengusaha memuatkan pelajar melebihi had, kita tak tutup operasi pusat tahfiz itu sebaliknya meminta supaya dilaksanakan tindakan mengurangkan pelajar dalam asrama,” katanya di sini.

Katanya, pemeriksaan Jawatankuasa Khas itu akan diteruskan untuk minggu seterusnya sehingga 19 Oktober depan melibatkan lebih 400 orang petugas JBPM dan di bantu oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Pihaknya menjangkakan lebih 1200 buah pondok dan pusat tahfiz persendirian seluruh negara akan diperiksa sehingga tarikh berkenaan sebelum laporan lengkap diserahkan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk dibentangkan dalam mesyuarat kabinet.

Pemeriksaan minggu pertama yang bermula 25 September lalu ke atas 228 buah pondok mendapati 152 pondok dan pusat tahfiz mematuhi aspek pencegahan kebakaran manakala selebihnya tidak mematuhi peraturan keselamatan tersebut.

Beliau juga mengingatkan ibubapa supaya merujuk JBPM sebelum menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau pondok mengenai tahap keselamatan dan pencegahan kebakaran di pondok persendirian yang ingin  mereka daftarkan anak mereka.

Jawatankuasa Khas ditubuhkan oleh kerajaan bagi memeriksa tahap keselamatan pondok dan pusat tahfiz seluruh negara susulan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah  baru baru ini yang mengorbankan 23 nyawa pelajar dan warden asrama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di sidang media selepas merasmikan majlis penutup kempen pencegahan kebakaran membabitkan lebih 700 pengusaha pondok dan pusat tahfiz seluruh Kelantan di sini siang tadi.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *