6 sekolah masih ditutup di Kelantan

KOTA BHARU: Enam sekolah di Kuala Krai dan Tanah Merah masih ditutup hari ini berikutan jalan perhubungan terputus akibat dinaiki air.

Berikutan itu, berdasarkan kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, seramai 1,015 murid terjejas, manakala 119 guru perlu melapor diri di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berhampiran.

Antara sekolah ditutup membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Bahagia, SK Ladang Taku, SK Pasir Kelang di Kuala Krai dan SK Sokor, SK Ladang Kerilla serta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla di Tanah Merah.

Selain jalan perhubungan terputus, paras air sungai meningkat menjadi faktor penutupan sekolah berkenaan kerana membahayakan keselamatan murid serta guru.

Bagaimanapun, menurut portal eBanjir Kelantan, satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan 43 mangsa di SK Kuala Balah di Jeli malam tadi sudah ditutup, pagi ini.

Pusat di SK Limau Kasturi, Gua Musang masih dibuka sejak kelmarin menempatkan 33 mangsa daripada 10 keluarga, setakat jam 10 pagi ini.

Sementara itu, berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Lebir di Kuala Koh yang berada di paras waspada semalam sudah kembali kepada paras normal, manakala Sungai Kelantan di Jeti Kastam pula mencecah paras waspada pagi ini.

Tiga sungai iaitu Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang dan Dabong; Sungai Lebir di Tualang, Kuala Krai serta Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial masih melebihi di paras amaran.

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *