Masjid Beijing Lambang Islam Itu Universal

Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra yang dikenali juga sebagai Masjid Beijing merupakan masjid pertama di Kelantan yang menggabungkan senibina Cina dan Islam. Masjid ini terletak di bandar Rantau Panjang, di dalam jajahan Pasir Mas, Kelantan.

Masjid Beijing ini mula dibina pada 12 September 2005 dan telah dirasmikan pada Ogos 2009. Tempoh pembinaan masjid ini mengambil masa kurang daripada 5 tahun manakala kos keseluruhan pembinaan masjid ini dianggarkan berjumlah RM8.8 juta. Masjid ini juga dikatakan mampu menempatkan 1000 orang jemaah pada satu-satu masa.

masjid beijing

Masjid Beijing ini juga dibina sebagai simbolik bahawa Islam ini adalah universal dan merentasi sempadan bangsa dan budaya lantaran negara China sendiri telah menerima kedatangan Islam jauh lebih awal daripada negara kita. Pembinaan masjid ini juga bertujuan untuk merungkai salah faham antara masyarakat Melayu dan cina bahawa Islam itu tidak semestinya ‘berwajah Melayu’ semata-mata.

Apa yang menariknya tentang masjid ini ialah seni binanya yang menyerupai Masjid Niujie yang berusia lebih daripada 1,000 tahun di Beijing. Dengan bentuk bumbungnya yang melengkung, ia berjaya mempesonakan pengunjung serta pelancong untuk ke situ. Masjid ini mempunyai dua tingkat. Tingkat atas merupakan ruang solat utama yang mampu memuatkan seramai 1000 orang jemaah. Manakala, ruang bawah pula merupakan ruang sokongan yang menyediakan pelbagai kemudahan awam seperti dewan serbaguna, dewan makan, perpustakaan dan klinik.

masjid niujie

Masjid Niujie di Beijing, China

Selain itu, di masjid ini juga telah diadakan pelbagai aktiviti untuk generasi muda. Antaranya turut diadakan kelas tahfiz, tajwid dan al-Quran selain takzirah oleh imam masjid selepas solat zohor dan maghrib. Aktiviti-aktiviti sebegini diwujudkan khas untuk mengimarahkan lagi masjid Beijing agar tidak lekang dengan aktiviti keagamaan.

Dengan terbinanya masjid Beijing ini, kita dapat membuka mata masyarakat Melayu khususnya bahawa Islam itu bukan milik Melayu semata-mata tapi milik semua bangsa dan Islam itu sendiri terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menganutinya.

masjid beijing

Keindahan dan keunikan yang ada pada seni bina masjid ini telah menjadikan masjid ini terkenal sehingga ke luar negeri dan berjaya menarik ramai pengunjung untuk bertandang ke masjid ini. Oleh itu, jika anda berkesempatan ke Kelantan, jangan lupa untuk singgah ke masjid ini yang sememangnya memiliki kemegahannya yang tersendiri dan tersergam indah di pandangan mata.

Sumber : Orang Kelantan

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *