2017 tahun bertuah buat Kelantan

KOTA BHARU: Tahun 2017 adalah tahun bertuah bagi Kelantan apabila bukan sahaja gembira meraikan pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15, malah turut mendapat perhatian kerajaan pusat menerusi pelbagai ‘hadiah’ untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi dan kemudahan rakyat negeri itu.

Pemilihan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 membanggakan seluruh rakyat Kelantan.

Menjelang upacara pertabalan Seri Paduka pada 24 April 2017 di Istana Negara, lensa media tertumpu kepada sekitar kisah keperibadian Seri Paduka yang disifatkan seorang raja berjiwa rakyat.

Sultan Muhammad V adalah Sultan Kelantan kedua ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong selepas nenda Seri Paduka, Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim memegang jawatan berkenaan 37 tahun lalu.

Seri Paduka menggantikan Almarhum Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember 2016.

Sepanjang tahun ini juga menyaksikan Kelantan kerap mendapat perhatian daripada kerajaan pusat yang mengumumkan beberapa agenda penting untuk menambah baik kehidupan masyarakat di negeri itu, sekali gus membuktikan rakyat Kelantan tidak dianaktirikan dan dizalimi kerajaan pusat.

Antaranya projek pembinaan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal melonjakkan ekonomi negeri itu khususnya bagi masyarakat persekitaran Pelabuhan Perikanan Tok Bali di Pasir Puteh.

Tok Bali menjadi satu-satunya stesen ECRL yang mempunyai muatan kargo selain perkhidmatan penumpang, manakala empat stesen lain di negeri ini iaitu Jelawat di Bachok, Tunjung di Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor di Tumpat membabitkan pengangkutan penumpang sahaja.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilaporkan berkata ECRL memainkan peranan penting dalam menarik pelabur melabur di negeri Pantai Timur khususnya Kelantan.

Selain ECRL, Kelantan turut menerima peruntukan bagi pembinaan Hospital Bachok, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan jambatan baharu di Kampung Nibong, Tumpat, bagi menangani fenomena banjir termenung di kawasan itu.

Kementerian Kesihatan meluluskan peruntukan sebanyak RM140 juta bagi pembinaan hospital itu di Kampung Bator, Jelawat di sini dan majlis pecah tanah tapak hospital itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 12 Mac lalu.

Pembinaan Hospital Bachok yang dijangka siap pada 2019 akan memberi perkhidmatan kepada lebih 156,000 penduduk di kawasan itu.

Selain itu, penduduk di negeri ini juga ‘dihadiahkan’ dengan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan di Jalan Hamzah di sini, yang dibina dengan peruntukan RM37.8 juta oleh Kerajaan Persekutuan. Ia adalah UTC ke-18 yang dibina kerajaan sejak diperkenalkan pada 2012.

Pada awal tahun ini juga, Perdana Menteri turut mengumumkan khabar gembira untuk mengkaji pembinaan sebuah jambatan bernilai kira-kira RM10 juta bagi menangani fenomena banjir termenung yang membelenggu penduduk Kampung Nibong di Tumpat.

Selain itu, Kelantan juga tidak sunyi daripada isu politik dan antara yang menarik perhatian ialah pertikaian membabitkan Wisma Tok Guru di Salor di sini, sehingga menjadi antara perbualan hangat penduduk di negeri itu pada tahun ini.

Kemelut perebutan itu rancak selepas Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan mendapat berita mengejutkan apabila menerima notis supaya mengosongkan Wisma Tok Guru yang menjadi pejabat kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden parti itu.

Bagaimanapun pada 16 November, Husam gagal dalam usahanya untuk mendapatkan injunksi Mahkamah Tinggi bagi menghalang pemilik tanah, yang menempatkan wisma itu daripada membenarkan mana-mana pihak mengadakan aktiviti di tanah berkenaan.

– BERNAMA

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *