200 peniaga Bazar Siti Fatimah gulung tikar

RANTAU PANJANG: Lebih 200 peniaga di Bazar Siti Fatimah terpaksa tutup kedai kerana tidak mampu membayar sewa akibat kekurangan pelanggan.

Bazar terbabit yang memiliki lebih 517 premis dibuka setiap hari namun kelihatan suram dan sunyi tanpa pengunjung walaupun pada cuti umum atau hujung minggu.

Peniaga, Fatimah Seman, 63, sedih dan kecewa dengan nasib peniaga di situ yang tidak mampu membayar sewa kerana ketiadaan pelanggan.

“Saya risau premis jualan saya berkemungkinan disita. Sekarang ini sudah hampir empat bulan saya tidak membayar sewa kerana langsung tidak mendapat keuntungan daripada hasil jualan, malah ada peniaga lain tertunggak sehingga sembilan bulan.

Zamri Idris menunjukkan beberapa premis yang ditutup akibat peniaga tidak dapat membayar sewa kerana ketiadaan pelanggan. – Foto Syaherah Mustafa

“Bukan kami tidak mahu membayar sewa tetapi hanya berapa orang saja pelanggan yang datang. Dalam seminggu, saya hanya mampu menjual tiga helai baju, jadi macam mana saya mampu membayar sewa RM280 sebulan,” katanya yang sudah berniaga sejak lebih 40 tahun di pekan Rantau Panjang.

Bangunan tiga tingkat Bazar Siti Fatimah mula beroperasi Jun 2015 bagi menggantikan pasar lama Rantau Panjang yang sudah dirobohkan.

Zamri Idris (tiga dari kanan) bersama peniaga Bazar Siti Fatimah menunjukkan surat aduan yang dihantar ke MDPM berkaitan masalah mereka. – Foto Syaherah Mustafa

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Suzilawati Shafie, 40, turut berkongsi masalahnya yang pernah tidak menerima pelanggan hampir seminggu kerana premisnya berada di tingkat dua.

“Bagi peniaga yang menjual makanan, kebanyakannya mengalami masalah barang jualan rosak akibat terlalu lama terbiar dan tidak terjual, ” katanya yang sebelum ini berniaga di pasar lama sebelum berpindah ke Bazar Siti Fatimah atas arahan Majlis Daerah Pasir Mas (MDPM).

Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Siti Fatimah, Zamri Idris, berkata pihaknya sudah beberapa kali membuat aduan kepada MDPM berkaitan masalah yang dihadapi peniaga di situ.

Katanya, dia turut membuat permohonan agar dapat mengurangkan kadar bayaran sewa sebanyak 20 sehingga 50 peratus dari kadar asal kerana tidak ramai pelanggan ke bazar itu.

Kredit : BHarian

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *